Latihan
industri merupakan salah satu syarat yang diwajibkan ke atas setiap pelajar
sebelum dianugerahkan diploma daripada Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia. Setiap pelajar perlu lulus latihan industri ini sebelum diiktiraf
untuk masuk ke semester seterusnya. Di antara objektif utama latihan industri
ini diwujudkan adalah untuk:
Memberi Pendedahan
Kepada Alam Pekerjaan Sebenar :
Melalui latihan industri, para pelajar secara
langsung dapat merasai dan memahami situasi alam pekerjaan yang sebenar.
Pelbagai pengalaman dan kemahiran baru yang dapat dipelajari untuk dimanfaatkan
pada masa hadapan kelak.
Keberkesanan Berkomunikasi
:
Teknik berkomunikasi yang mantap dan berkesan
dapat dipupuk semasa menjalani tempoh latihan industri. Komunikasi dua hala
yang berlaku bukan sahaja diantara pelajar dengan pekerja lain, malahan juga
diantara pelajar dengan majikan, pelanggan, pembekal juga dari pihak lain.
Pelajar perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi yang berlaku dan berkomunikasi
dengan baik serta yakin supaya maklumat yang disampaikan dapat diterima dengan
baik dan jelas.
Mengamalkan Etika Dan
Peraturan Kerja Yang Baik :
Setiap
organisasi mempunyai etika dan peraturan. Pelajar harus melaksanakan tugas
yang diberikan dengan sempurna dan mengikut masa yang telah ditetapkan
berdasarkan peraturan kerja yang telah ditetapkan. Hal ini dapat melatih
pelajar agar sentiasa bersedia menerima arahan dari semasa ke semasa dan
menyiapkan tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Membina Personaliti Individu :
Latihan industri dapat membina keyakinan
diri pelajar. Pelbagai situasi dan ragam
manusia perlu dihadapi dan skopnya adalah lebih luas jika dibandingkan ketika
sesi pembelajaran di dalam kelas semasa di politeknik. Sedikit sebanyak pola
pemikiran pelajar dapat digubal dan perasaan malu untuk berkomunikasi dengan
masyarakat dapat diatasi, secara tidak langsung dapat membina personaliti
individu yang berjaya disamping meningkatkan tahap keyakinan dalam diri pelajar.
Menerapkan Sikap
Nilai Murni Yang Terpuji Dalam Diri :
Sepanjang tempoh latihan industri, para
pelajar dapat menerapkan sikap nilai murni dalam diri agar lebih
bertanggungjawab dan bersiplin. Hal ini ekoran dari tempoh waktu bekerja yang
patut dipatuhi pada setiap hari waktu bekerja. Disamping itu, para pelajar akan
menjadi lebih berdisiplin dalam menyiapkan tugasan dan amanah yang diberikan
oleh majikan. Hal ini secara tidak langsung dapat melatih diri pelajar agar lebih
berdisiplin dan bertanggungjawab sepanjang waktu bekerja.
KEPENTINGAN LATIHAN INDUSTRI
Latihan industri merupakan salah satu cabang bidang ilmu yang
memberi peluang kepada seseorang pelajar untuk mengaplikasikan setiap proses
pembelajaran yang dilalui semasa sesi pembelajaran didalam bilik kuliah. Ia
dapat dilihat dari pelbagai perspektif, contohnya secara tidak langsung ia
dapat melipatgandakan kemahiran yang sedia ada yang terdapat di dalam diri
seseorang pelajar itu sendiri disamping menambahkan kemahiran dan pengetahuan
yang baru dalam sesuatu bidang kerja yang dilalui. Pengalaman dan pengetahuan
tersebut sangat penting untuk menjadikan diri seseorang pelajar itu agar
menjadi lebih baik dalam bidang yang akan diceburi kelak.
Selain itu, latihan industri ini juga
mengurangkan rasa gementar dan rasa janggal apabila seseorang pelajar itu mengharungi
alam pekerjaan sebenar yang bakal merealisasikan segala cita-cita dan impian
ketika belajar. Segala penyelesaian masalah yang dihadapi sewaktu menjalani
latihan industri akan dijadikan suatu pengalaman untuk mematangkan diri
sendiri. Secara tidak langsung ia dapat memberi kesan kepada pelajar bahawa
situasi di dalam alam pekerjaan sebenarnya adalah tidak semudah yang dipelajari
dalam bentuk teori dan amali ketika dalam sesi pembelajaran di politeknik.
Dari sudut lain pula, latihan industri ini penting kerana ia
memudahkan pelajar untuk memohon jawatan yang sesuai setelah tamat pengajian
kelak. Ini tidak dinafikan kerana secara umum sesebuah firma amat mengutamakan
individu yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi disamping pengalaman
bekerja yang ada. Justeru itu, tidak mustahil syarikat tersebut akan menawarkan
tempat untuk bekas pelatih setelah tamat pengajian kelak.
Walau bagaimanapun, input yang diperolehi daripada latihan
ini adalah sangat besar. Pelajar dapat menggunakan pengalaman dan kemahiran
yang diperolehi semasa tempoh latihan sebagai garis panduan dan bekalan untuk
di masa akan datang. Selain daripada itu, segala susah payah yang ditempuhi
semasa dalam tempoh latihan tersebut akan menjadi pendorong dan pemangkin
kepada pelajar tersebut untuk meningkatkan lagi prestasi ke tahap yang lebih
tinggi serta menjadikan diri sebagai seorang pelajar dan pekerja yang
berdedikasi dan cemerlang kelak.










