Followers

WELCOME TO MY BLOG

Monday, 9 November 2015

APAKAH ITU LATIHAN INDUSTRI ?



Latihan industri merupakan salah satu syarat yang diwajibkan ke atas setiap pelajar sebelum dianugerahkan diploma daripada Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Setiap pelajar perlu lulus latihan industri ini sebelum diiktiraf untuk masuk ke semester seterusnya. Di antara objektif utama latihan industri ini diwujudkan adalah untuk:
OBJEKTIF LATIHAN INDUSTRI:

 Memberi Pendedahan Kepada Alam Pekerjaan Sebenar :

  Melalui latihan industri, para pelajar secara langsung dapat merasai dan memahami situasi alam pekerjaan yang sebenar. Pelbagai pengalaman dan kemahiran baru yang dapat dipelajari untuk dimanfaatkan pada masa hadapan kelak.

 Keberkesanan Berkomunikasi :

  Teknik berkomunikasi yang mantap dan berkesan dapat dipupuk semasa menjalani tempoh latihan industri. Komunikasi dua hala yang berlaku bukan sahaja diantara pelajar dengan pekerja lain, malahan juga diantara pelajar dengan majikan, pelanggan, pembekal juga dari pihak lain. Pelajar perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi yang berlaku dan berkomunikasi dengan baik serta yakin supaya maklumat yang disampaikan dapat diterima dengan baik dan jelas.


 Mengamalkan Etika Dan Peraturan Kerja Yang Baik :

      Setiap organisasi mempunyai etika dan peraturan. Pelajar harus melaksanakan tugas yang diberikan dengan sempurna dan mengikut masa yang telah ditetapkan berdasarkan peraturan kerja yang telah ditetapkan. Hal ini dapat melatih pelajar agar sentiasa bersedia menerima arahan dari semasa ke semasa dan menyiapkan tugasan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Membina Personaliti Individu :

     Latihan industri dapat membina keyakinan diri pelajar. Pelbagai situasi dan ragam manusia perlu dihadapi dan skopnya adalah lebih luas jika dibandingkan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas semasa di politeknik. Sedikit sebanyak pola pemikiran pelajar dapat digubal dan perasaan malu untuk berkomunikasi dengan masyarakat dapat diatasi, secara tidak langsung dapat membina personaliti individu yang berjaya disamping meningkatkan tahap keyakinan dalam diri pelajar.


Menerapkan Sikap Nilai Murni Yang Terpuji Dalam Diri :


Sepanjang tempoh latihan industri, para pelajar dapat menerapkan sikap nilai murni dalam diri agar lebih bertanggungjawab dan bersiplin. Hal ini ekoran dari tempoh waktu bekerja yang patut dipatuhi pada setiap hari waktu bekerja. Disamping itu, para pelajar akan menjadi lebih berdisiplin dalam menyiapkan tugasan dan amanah yang diberikan oleh majikan. Hal ini secara tidak langsung  dapat melatih diri pelajar agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab sepanjang waktu bekerja.


KEPENTINGAN LATIHAN INDUSTRI
Latihan industri merupakan salah satu cabang bidang ilmu yang memberi peluang kepada seseorang pelajar untuk mengaplikasikan setiap proses pembelajaran yang dilalui semasa sesi pembelajaran didalam bilik kuliah. Ia dapat dilihat dari pelbagai perspektif, contohnya secara tidak langsung ia dapat melipatgandakan kemahiran yang sedia ada yang terdapat di dalam diri seseorang pelajar itu sendiri disamping menambahkan kemahiran dan pengetahuan yang baru dalam sesuatu bidang kerja yang dilalui. Pengalaman dan pengetahuan tersebut sangat penting untuk menjadikan diri seseorang pelajar itu agar menjadi lebih baik dalam bidang yang akan diceburi kelak.
Selain itu, latihan industri ini juga mengurangkan rasa gementar dan rasa janggal apabila seseorang pelajar itu mengharungi alam pekerjaan sebenar yang bakal merealisasikan segala cita-cita dan impian ketika belajar. Segala penyelesaian masalah yang dihadapi sewaktu menjalani latihan industri akan dijadikan suatu pengalaman untuk mematangkan diri sendiri. Secara tidak langsung ia dapat memberi kesan kepada pelajar bahawa situasi di dalam alam pekerjaan sebenarnya adalah tidak semudah yang dipelajari dalam bentuk teori dan amali ketika dalam sesi pembelajaran di politeknik.
Dari sudut lain pula, latihan industri ini penting kerana ia memudahkan pelajar untuk memohon jawatan yang sesuai setelah tamat pengajian kelak. Ini tidak dinafikan kerana secara umum sesebuah firma amat mengutamakan individu yang memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi disamping pengalaman bekerja yang ada. Justeru itu, tidak mustahil syarikat tersebut akan menawarkan tempat untuk bekas pelatih setelah tamat pengajian kelak.
Walau bagaimanapun, input yang diperolehi daripada latihan ini adalah sangat besar. Pelajar dapat menggunakan pengalaman dan kemahiran yang diperolehi semasa tempoh latihan sebagai garis panduan dan bekalan untuk di masa akan datang. Selain daripada itu, segala susah payah yang ditempuhi semasa dalam tempoh latihan tersebut akan menjadi pendorong dan pemangkin kepada pelajar tersebut untuk meningkatkan lagi prestasi ke tahap yang lebih tinggi serta menjadikan diri sebagai seorang pelajar dan pekerja yang berdedikasi dan cemerlang kelak.

No comments:

Post a Comment